KG.DILIK LOHAN ULU RANAU: 07 November 2011, program Hari Raya Korban yang dianjurkan JAKIM Cawangan Sabah yang diketuai oleh Pengarah JAKIM Cawangan Sabah iaitu Tuan Haji Ahmad Zaki Haji Arshad bersama Unit Dakwah ibupejabat telah disertai Ustaz Nasrun Abdullah, pengetua Pusat Latihan Islam Kundasang dengan kakitangannya dan rombongan Muslim Care, NGO Islam di Selangor yang diketuai Ustaz Abdul Razak Mohammad. Turut serta Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Ranau, Ustaz Haji Abdul Rauf Abas dengan Kakitangannya dan Penggerak Dakwah.
Program Ibadah korban ini merupakan program yang pertama sekali dianjurkan di kampung tersebut memandangkan belum pernah dilaksanakan sebelum ini. Kebanyakan penduduk kampung yang hadir dalam majlis tersebut dikalangan belia-belia yang mula berjinak-jinak dengan surau. Penduduk mula datang ke surau kira-kira pada jam 7.00 pagi. Setelah rombongan JAKIM dan Muslim Care sampai, aktiviti korban mula dijalankan kira-kira jam 9.30 pagi. Lembu yang dikorbankan sebanyak 2 ekor. Seekor disumbangkan oleh JAKIM dan seekor daripada Muslim Care yang akan diagihkan sumbangan daging tersebut ke kg Tinutuan.
Suasana Hari Raya korban dimeriahkan lagi dengan aktiviti gotong-royong memotong daging serta memasak sup daging resepi kg Dilik Lohan Ulu dan perubatan secara Islam yang dikendalikan oleh Ustaz Hadi Tolha dari Muslim Care. Pengerusi Surau Kg Dilik , Saud Alfian Mojungkit mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga atas sumbangan dan program yang dianjurkan serta kehadiran daripada rombongan JAKIM serta Muslim Care. Selepas Solat Zohor, majlis ucapan dimulakan oleh Pengerusi Surau, Muslim Care dan ucapan serta tazkirah Pengarah JAKIM. Pengerusi Surau menyatakan rasa syukur dan rahmat yang menimpa kampung tersebut diatas keprihatinan pihak JAKIM dalam menentukan tempat sumbangan daging korban pada tahun itu. Beliau juga mengatakan bahawa program tersebut merupakan perintis jalan untuk menggalakkan masyarakat kampung tersebut untuk bergiat aktif dalam program di surau kerana selama ini jiran-jiran surau tidak pernah datang mengimarahkan surau tersebut. Beliau juga menganggap bahawa program ini berjaya dilaksanakan dengan jaya dan meriahnya.
Pengarah JAKIM cawangan Sabah membalas ucapan pengerusi surau berkaitan dengan program untuk penduduk kampung tersebut tidak akan berakhir disitu sahaja tetapi pihak Pusat Latihan Islam Kundasang akan menjadikan kampung tersebut sebagai peserta dalam kursus yang ditawarkan di Pusat Latihan Islam Kundasang. Seterusnya pengarah JAKIM memberikan tazkirah berkaitan dengan sejarah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dan motivasi untuk penduduk kampung. Menurut temubual dengan penduduk kampung yang mendengar ucapan serta tazkirah Pengarah JAKIM mengatakan bahawa mereka sangat terkesan dengan penyampaian tersebut, yang menariknya makcik-makcik yang mendengar tazkirah tersebut ternganga mulut mereka sambil tersenyum tanda khyusuk mendengar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Beri komen anda..
Agar kami boleh memperbaiki kelemahan..